Thailand menjadi pilihan ramai pelancong Malaysia kerana menawarkan perbelanjaan yang murah dan dekat.
Bandar seperti Hatyai, Phuket dan Krabi kini meriah dan sesak dengan pelancong terutama dari Malaysia terutama pada musim cuti.
Pengendali pelancongan, Ahmad Mirza Ahmat Najah, 26, berkata, kos percutian dan penginapan memainkan peranan yang amat penting untuk menarik lebih ramai pelancong.
Ahmad Mirza berharap industri pelancongan dapat meningkat lagi usaha untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia melancong di dalam negara.
“Tidak dinafikan Thailand boleh dianggap sebagai destinasi percutian berbaloi untuk rakyat Malaysia berbanding negara lain yang mempunyai nilai mata wang lebih besar.
“Kos perkhidmatan, makanan dan penginapan di sana lebih berkualiti dan bertaraf lima bintang walaupun tawaran harganya masih murah,” katanya.
Menurut Mirza, bagi individu yang tidak mahu berbelanja lebih dan juga arif tentang selok belok melancong di Thailand, mereka juga boleh ke sana tanpa perlu menggunakan khidmat ejen pelancongan kerana penduduk di sana juga sangat mesra dan ramai yang fasih berbahasa melayu.
Pos sempadan Imigresen Malaysia-Thailand yang sesak dengan pelancong yang ingin berkunjung ke Thailand.
(Sumber : Utusan)
Memetik laporan portal Utusan Malaysia, Thailand dijangka menerima tujuh hingga 10 juta pelancong asing tahun ini selepas melonggarkan sekatan akibat pandemik COVID-19, manakala seramai 647,648 rakyat Malaysia direkodkan datang ke Thailand untuk lapan bulan pertama tahun ini.
Menurut Ahmad Mirza, inisiatif dan galakan untuk melancong dalam negara dikalangan rakyat Malaysia perlu dilakukan lebih lagi
“Di negara seperti Thailand dan Indonesia, mereka bersaing untuk menyediakan servis dan fasiliti terbaik untuk pelancong manakala di Malaysia, industri pelancongan sedang bergelut dengan kos pengangkutan dan penginapan yang agak mahal,” katanya.
Ahmad Mirza menjelaskan keinginan untuk melihat dan merasai budaya negara lain menjadi salah satu faktor utama orang ramai melancong ke luar negara.
Menurutnya, apabila kecenderungan rakyat Malaysia untuk bercuti ke luar negara khususnya Thailand semakin meningkat, sudah pasti industri pelancongan domestik akan merosot.
Namun, ia bergantung kepada individu tersebut kerana mereka juga mempunyai hak dan pilihan tersendiri untuk melancong ke mana-mana destinasi pilihan mereka termasuk ke luar negara.
“Di Malaysia sendiri masih banyak tempat pelancongan bertaraf dunia untuk dikunjungi, namun jumlah pelancong asing yang masuk ke negara kita untuk aktiviti pelancongan masih belum mencapai tahap yang sepatutnya,” katanya.
Jika anda gemar mencuba makanan baharu, rasai pelbagai hidangan Thai yang popular.
(Sumber: Aimi Nabiha)
Aimi Nabiha Mohd Tahir, 22, yang baru pulang dari Thailand, menjelaskan Thailand mempunyai banyak tarikan menarik seperti pantai Ko Samui dan Pattaya selain pilihan makanan yang banyak dan murah di Floating Market.
Aimi Nabiha percaya bahawa Malaysia mempunyai tarikan pelancongan yang baik tetapi rakyat Malaysia mempunyai mentaliti yang inginkan keselesaan dan kemewahan.
“Promosi dan kempen mengenai pakej pelancongan perlu ditingkatkan kerana pelancong tempatan kurang berminat dengan tarikan pelancongan di Malaysia berikutan mentaliti yang inginkan keselesaan dan kemewahan menginap di hotel dan resort.
"Seperti yang kita dapat lihat, ramai orang melabel pelancongan domestik sebagai kelas kedua berbanding pelancongan luar negara apabila kita mempunyai tarikan dan tempat pelancongan yang lebih baik dan bertaraf antarabangsa." jelas Aimi.
Namun begitu, pilihan destinasi bergantung kepada citarasa masing-masing, dan buatlah pilihan yang mampu memberikan kegembiraan, pengalaman dan kenangan indah.
Like the article? Share it now!