SHAH ALAM: Manifesto Pilihan Raya Umum kali ke-15 (PRU-15) terus menjadi madah janji, tanpa mengikat mana-mana parti politik bertanding untuk menunaikan tawaran yang diberikan.
Penganalisis politik, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, manifesto ini bukanlah satu kontrak yang wajib dilaksanakan oleh parti politik di Malaysia.
Dr Tawfik sarankan parti politik bertanding bentang manifesto yang realistik.
(Sumber: Facebook)
“Saya berpandangan berdasarkan perkembangan politik semasa di negara kita, manifesto setakat hari ini dilihat hanya sebagai janji, tanpa terikat kepada undang-undang yang dapat memaksa parti politik untuk melaksanakan manifesto.
“Semestinya parti yang bertanding akan menjanjikan pelbagai intipati. Oleh itu, tidak wajar untuk mengetengahkan janji-janji yang tidak rasional, kerana ia mesti lah disemak dengan kekuatan kewangan negara dan polisi yang ada di peringkat kabinet,” ulas Tawfik.
Malaysia mencatat sejarahnya tersendiri apabila Perdana Menteri bertukar sebanyak tiga kali dalam satu penggal bermula pada Mei 2018 sehingga November 2022.
Kemelut politik yang melanda Malaysia sejak tiga tahun kebelakangan ini sememangnya memberi impak besar terhadap landskap politik di negara kita.
“Misalnya, apabila Langkah Sheraton berlaku, negara kita terjerumus dalam kekalutan politik dan menyebabkan rakyat rasa kecewa. Kita lihat prestasi ahli parlimen dan wakil rakyat tidak mempunyai semangat untuk memperjuangkan isu rakyat,” kata Tawfik kepada Berita DIMENSi.
Dalam pada itu, isu inflasi yang kekal tinggi menjadi kebimbangan rakyat sehingga muncul sebagai modal utama yang akan diketengahkan dalam PRU-15.
“Parti politik perlu mengemukakan satu perancangan yang jelas iaitu bagaimana untuk memastikan isu terutamanya berkaitan ekonomi, kos sara hidup dan harga barangan yang tinggi dapat ditangani.
Pembangunan ekonomi sewajarnya menjadi modal utama dalam kerangka strategi setiap parti bertanding bagi menghadapi krisis kewangan 2023.
“Jika dua perkara ini dapat diuruskan dan dimasukkan dalam manifesto dengan penuh keyakinan dan menyenaraikan langkah yang relevan, saya yakin pengundi akan terpesona dan melihat parti tersebut akan dapat mentadbir negara dengan baik,” Tawfik mengulas lanjut.
Manakala, pegawai dari Akademi Pilihan Raya (APR), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Encik Hanafi Doloh berkata, media tanpa sempadan menjadi platform untuk menyalurkan maklumat dan pengundi akan melihat kepada kreativiti parti yang mempengaruhi minda mereka.
Hanafi Doloh memberi taklimat bagi PRU15 Negeri Perlis.
(Sumber: Akademi Pilihan Raya Malaysia)
“Pengundi sekarang sangat hebat dan peka dengan penggunaan media sosial dan disebabkan itu para pengundi seharusnya perlu membuat pilihan yang bijak dan menilai prestasi atau track record parti yang bertanding yang mempunyai komitmen dan prihatin terhadap isu-isu rakyat.
“Mengundi adalah satu perkara yang subjektif dan kita tidak boleh hanya memilih antara calon, parti atau manifesto semata kerana setiap daripada mereka sememangnya ada terpalit dengan sesuatu isu, tapi kita masih boleh membuat keputusan yang berhemah,” kata beliau.
Like the article? Share it now!