KOTA KINABALU: Seni mempertahankan diri wajar dipelajari oleh setiap lapisan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak sebagai perisai diri ketika menghadapi cubaan jenayah.
Pegawai Polis Bahagian Siasatan Jenayah, Said Salleh, berkata, kes penculikan semakin meningkat dari tahun ke tahun, dan sindiket penculikan baharu menyasarkan orang dewasa dan juga kanak-kanak.
Jelasnya, setiap ibu bapa harus menghantar anak-anak mereka ke kelas seni mempertahankan diri seperti taekwondo, karate, dan silat untuk membantu mereka memikirkan langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku ancaman terhadap diri mereka.
Menurutnya, kejadian penculikan melibatkan kanak-kanak boleh dielakkan sekiranya semua pihak khususnya ibu bapa, keluarga dan sekolah bekerjasama mencegah dan membanteras jenayah itu.
Said, 34, berkata masalah penculikkan berlaku disebabkan kecuaian ibu bapa sendiri yang kurang mengambil berat tentang keselamatan persekitaran anak-anak.
“Teknik seni mempertahankan diri menekankan persediaan untuk perkara ini, kanak-kanak akan lebih bersedia untuk membuat keputusan yang betul dan bertindak dengan cekap.” katanya.
"Jika mangsa mendapati diri mereka dalam situasi bahaya, terdapat beberapa cara untuk melepaskan diri daripada cengkaman penculik. Ibu bapa mesti mengajar anak-anak mereka cara menggunakan kaedah ini untuk mempertahankan diri dan merumitkan penculik," katanya.
Said menasihatkan kanak-kanak supaya menggunakan suara yang lantang ketika meminta bantuan bagi menarik perhatian mereka yang berdekatan.
"Pada masa yang sama, cangkuk belakang kaki penculik, menyukarkan penculik untuk bergerak, dan gunakan mana-mana tangan untuk memukul penculik sambil menjerit meminta tolong.
“Gunakan gigi anda untuk mempertahankan diri dengan menggigit tangan penculik jika tangan penculik menutup mulut anda dan pukul bahagian-bahagian utama badan yang boleh menyebabkan kecederaan paling teruk contohnya bahagian kemaluan pemangsa.
“Pertahankan diri dengan menggigit tangan penculik jika tangan penculik menutup mulut dan pukul bahagian badan pemangsa yang boleh menyebabkan kecederaan seperti di bahagian kemaluan,”terangnya.
Sememangnya penculikan kanak-kanak adalah antara kes jenayah telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa.
Negara pernah dikejutkan dengan kes penculikan yang melibatkan adik Nurin Jazlin Jazimin pada 2007. Liputan kes ini memenuhi ruangan akhbar ketika itu, namun kes itu masih menjadi misteri dan menjadi tanda tanya sehingga kini.
Kanak-kanak yang hilang dan masih belum ditemui.
(Sumber: Utusan Malaysia)
Pada 26 Jun lalu, pelakon Lufya Omar berdepan situasi mencemaskan apabila diserang oleh seorang lelaki tidak dikenali yang ingin cuba menculik anak perempuannya iaitu Laana Haura ketika bermain di taman permainan di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Tambahan pula, antara faktor lain peningkatan kes penculikan adalah disebabkan oleh perbezaan taraf hidup dan kemerosotan ekonomi, yang mendorong pihak terbabit mencari jalan segera untuk mendapatkan duit.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya bertenang dan sentiasa berhubung dengan polis sekiranya timbul isu keselamatan melalui Ketua Polis Daerah.
Like the article? Share it now!